[12 Januari 2015]

Hiburan Merentasi Sensitiviti Agama dan Bangsa 

Negara Malaysia merupakan negara yang mengamalkan adat ketimuran. Adat ketimuran banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat negara ini. Adalah agak canggung di mata umum apabila lelaki dan perempuan berpelukan, berpegang tangan mahupun hampir berkucupan dikhalayak ramai. 

Isu gadis beragama Islam yang dipeluk artis Korea baru-baru ini menggegarkan negara dan dunia umat Islam khususnya. Ini merupakan sensitiviti agama dan bangsa yang perlu dipandang sebagai perkara yang penting. Isu sensitiviti ini bukan hanya untuk yang beragama Islam atau berbangsa Melayu. Setiap agama dan bangsa mempunyai sensitiviti tersendiri. Masyarakat perlu hidup dengan rukun dan damai dalam kepelbagaian agama dan bangsa di Malaysia. Andai sensitiviti sebegini tidak dijaga, ia bakal mengundang kemarahan masyarakat seterusnya membawa kepada ketidakstabilan negara yang kita cintai. 

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNIMAS 2014/2015 berpendapat pihak berwajib perlu menangani program-program seperti ini agar insiden yang sama tidak akan berulang lagi. Hiburan tiada salahnya. Semua agama dan bangsa menerima hiburan sebagai salah satu kehendak insani. Namun, hiburan tersebut mestilah tidak melampaui batas norma agama dan bangsa. 

Mohammad Syahme bin Baharudin 
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar 
Universiti Malaysia Sarawak

No comments: